Monday, September 19, 2011

Murid Tahun Lima Maut Ditimpa Tiang Gol



KLANG: Seorang murid Tahun Lima maut selepas mengalami kecederaan parah di kepalanya akibat dihempap tiang gol ketika bermain bola sepak di padang sebuah sekolah rendah berdekatan rumahnya, di Kuarters Guru Kampung Jawa, di sini, petang kelmarin.

Muhammad Fakhrul Amin Abdul Rahman, 11, pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jawa 2, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) malam kelmarin, selepas mengalami pendarahan teruk dan retak tempurung kepala.

Bapa mangsa, Abdul Rahman Sarbaini, 41, ketika ditemui, berkata pada jam 6 petang kelmarin, dia berada di rumah ketika dimaklumkan jirannya bahawa anaknya mengalami kemalangan ketika bermain bola di padang SK Kampung Jawa 1, yang terletak hanya 50 meter daripada rumahnya.



“Apabila sampai ke tempat kejadian, saya terkejut melihat banyak darah keluar daripada kepalanya dan dia (Muhammad Fakhrul) sudah terbaring dengan tidak sedarkan diri.


“Melihat kecederaan yang parah, saya terus menghantarnya ke HTAR untuk menerima rawatan, namun arwah gagal diselamatkan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.


Abdul Rahman berkata, dia difahamkan anaknya sering bermain di kawasan kuarters namun pada hari kejadian, mangsa yang meminati pasukan Liverpool bermain di padang berkenaan.

“Saya diberitahu rakannya, arwah tidak perasan tiang gol itu berkarat dan sebahagian besi penyokong tiang sudah tertanggal secara tiba-tiba menghempapnya, menyebabkan rakannya bergegas pulang ke rumah memanggil saya,” katanya.


Beliau berkata, anaknya tidak menunjukkan tanda-tanda pelik sebelum kejadian, kecuali ada meminta sepasang kasut bola daripada ibunya, Faizah Ayob, 41, yang memintanya menunggu hingga akhir bulan ini.


Katanya, beliau terkilan kerana tidak dapat membelikan kasut berkenaan.


“Dia (arwah) memperoleh duit raya sebanyak RM120 tetapi kasut bola yang dia inginkan masih tidak mencukupi, menyebabkan Muhammad Fakhrul mahu menambah sedikit wang daripada ibunya, namun Tuhan lebih menyayanginya,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri, Abdullah Mat Derus, ketika dihubungi, berkata beliau masih belum menerima laporan mengenai kejadian kerana kini berada di luar negara.


“Mungkin pihak jabatan sudah pergi ke lokasi kejadian namun sekiranya sudah menerima laporan, siasatan akan dilakukan ke atasnya,” katanya.


Tiang gol yang menghempap mangsa sekaligus meragut nyawanya..

Baca berita di pautan-pautan berikut:

1. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MuridTahunLimamautkenahempaptianggol/Article/index_html
2. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0919&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_14.htm
3. http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0919&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm
4. http://www.hmetro.com.my/articles/Budakkorbantianggol/Article

Sedih kan? Peristiwa ini sangat memberi kesan pada aku dan keluarga kerana Allahyarham Muhammad Fakhrul Amin ialah anak sepupu aku....

Aku dapat berita pada jam 9.30 malam hari Sabtu. Masa tu aku baru sampai dari Sabah. Terkejut bukan kepalang lagi apabila dapat tahu Amin dah takde.

Semalam, aku ke rumah sepupu aku untuk majlis pengebumian. Jenazah dikebumikan selepas solat Zuhur. Aku sendiri tak dapat nak menahan air mata daripada mengalir tatkala jenazah tiba di perkarangan rumah dan diletakkan di dalam surau. Sayu sangat. Keluarganya apatah lagi. Mata ibunya bengkak. Semalaman air mata tak berhenti mengalir. Kakak, abang dan adik-adik dia menangis, meratapi pemergian arwah. Ayahnya nampak tenang. Kuatnya semangat dia.. Tpai dalam hati siapa tahu kan. Walau dia masih mampu memberi senyuman kepada tetamu yang hadir, aku pasti, dalam hati dia turut menangisi pemergian anakanda tersayang.

Arwah anak yang baik. Baru berusia 11 tahun, dia sudah 3 kali khatam Al Quran. Aku dengar dia juga rajin ke surau. Tanpa disuruh. Pandai melaungkan azan juga. Terbukti Allah lebih menyayangi dia.

Semasa berada di rumahnya, aku bersembang dengan salah seorang adiknya. Katanya, "esok dah sekolah. Letihnya. Amin la yang best. Dah tak payah pergi sekolah. Amin dah tak letihla. Kalau dulu Amin letih, pagi sekolah biasa, petang sekolah agama...." Aku hanya mampu tersenyum. Anak kecil.. Apa yang dia tahu?

Amin, tenanglah kau di sana. Semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat-Nya ke atas mu.... Insyaallah, tempatmu adalah syurga...

1 comment:

  1. oh..shi x bc lagi paper ari ni..x sangka mangsa dekat dgn amal..moga familynye tabah..

    mmg syurga le utk kanak2 sepertinya..

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...